Thursday, September 15, 2011

Kurang merokok sewaktu di kampus

1974
Mulai Mei 1974 saya berjaya melanjutkan pelajaran di universiti. Kewangan saya sewaktu di universiti sangat ketat. Waktu jadi guru sementara dapat gaji bulanan rm350 tetapi kini biasiswa sahaja kira-kira rm2000 setahun. Wang biasiswa hanya untuk makan dan yuran. Saya beli rokok sebatang sahaja dari kedai makan di universiti. Waktu itu masih belum ada peraturan larangan merokok di sekolah atau universiti  Kerap kali saya berjimat sebatang rokok hisap beberapa kali. Bila masuk bilik kuliah padamkan rokok yang membara itu lepas itu selitkan rokok dicelah dinding. Bila habis kuliah terus terkam rokok yang diselit itu dan sambung semula tetapi rasanya kurang enak, macam tengik. Ada kalanya kami berkongsi sepuntung rokok hisap bergilir-gilir. Ketika yang paling seronok bila cuti penggal/semester. Saya pulang ke kampung dan menoreh getah. Bila dapat wang hasil jualan getah rokoklah yang dibeli dulu. Ah lepaskan gian, merokok bersama rakan sekampung. Ketika yang paling seronok sekali ialah selepas main bola. Kami berkumpul di hadapan kedai runcit Ayah Mail P. Tekak terasa haus, maka saya beli air cc. Lepas seteguk masuk ke tekak, kini giliran menyedut rokok pula. Memang nikmat minum cc diselang dengan menghisap rokok. Orang yang tidak merokok tidak tahu bagaimana nikmat yang dimaksudkan. Namun begitu saya tidak pernah menghisap rokok di hadapan ayah. Selama empat tahun saya merokok cara begini. Ada kala sebatang sehari dan ada juga sekali sekala sebungkus (bungkus kecil) sehari.

No comments:

Post a Comment